Pengenalan
Alpha Omega adalah satu jenama yang kami temui baru-baru ini. Jenama yang berasal dari Kuching, Sarawak, Alpha Omega telah mengeluarkan beberapa In Ear Monitor (IEM) dengan pelbagai konfigurasi ‘driver’ yang berharga dari RM499.00 hingga ke RM1,199.00 bagi jenis ‘Universal Custom’. Berbeza dengan satu jenama yang biasa kita dengar dalam AudioMonsta iaitu Hillaudio, IEM dari Alpha Omega adalah buatan tangan sepenuhnya. Jika dilihat dari segi IEM jenis buatan tangan, Alpha Omega lebih seiring dan bersaing dengan jenama tempatan lain seperti Elysian Acoustics Lab dan Unknown Customs.
Melihat rekaan ‘faceplate’ yang cantik dan keupayaan mereka untuk menyediakan ‘custom mold’ bagi bakal pemilik, kami terus mengorek ‘line-up’ yang disediakan oleh Alpha Omega. Antara IEM yang ditawarkan oleh Alpha Omega adalah:
- Alpha 1: 1 10mm Dynamic Driver (RM499.00)
- Epsilon: 1 Balance Armature (RM599.00)
- Zeta 2: 2 Balance Armature (RM899.00)
- Lampda 3: 3 Balance Armature (RM1,199.00)
*harga dinyatakan adalah bagi badan jenis ‘Universal Custom’
Alpha Omega mengenakan caj sebanyak RM120.00 untuk satu mold bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan ‘custom fitting’ yang boleh dipadankan dengan mana-mana konfigurasi IEM di atas. Saya difahamkan bahawa setiap tempahan IEM yang menggunakan ‘custom mold’ akan mengambil masa kurang lebih 10 hari untuk disiapkan dan dihantar kepada pemiliknya. Ya, seminggu lebih sedikit saja bergantung pada jumlah order semasa bermula dari tarikh terima ‘mold’ anda.
Pihak Alpha Omega dengan murah hati telah menyediakan sepasang ‘demo unit’ Epsilon untuk ulasan AudioMonsta. Terima kasih tuan! Dengan kebanjiran produk ‘Chi-Fi’ yang kian menjadi-jadi, di manakah letaknya nilai Alpha Omega dalam pasaran? Yang pastinya IEM dari Alpha Omega bukanlah dari kalangan yang biasa-biasa dari aspek fizikal dan kualiti binaan. Ulasan lanjut di bawah.
Persembahan Produk
Epsilon didatangkan dengan sebuah kotak yang agak besar dari kebiasaan yang kita biasa lihat di pasaran. Kotak berwarna hitam mati dengan cetakan logo Alpha Omega pada bahagian atas jelas tampak eksklusif dan minimalistik. Bukaan kotak adalah dengan menggunakan magnet pada bahagian depan. Kebiasaannya kita akan dijemput terus dengan IEM setelah kotak dibuka namun kali ini, kita dijemput dengan sebuah lagi kotak keras plastik berwarna hitam yang juga berfungsi sebagai kotak simpanan untuk IEM ini yang disisipkan kemas dalam ruangan ‘foam cut-out’. Pengalaman membuka kotak Epsilon ini jelas memberi unsur keterujaan dan kejutan kepada pemiliknya.
Melihat sendiri Epsilon di depan mata, kualiti binaan yang ditampilkan adalah mengagumkan terutamanya di bahagian ‘faceplate’ IEM ini (‘faceplate’ juga boleh ditempah berdasarkan pilihan yang disediakan). Badan IEM ini pula diperbuat daripada resin lutsinar yang jelas mempamerkan 1 ‘Balance Armature’ dari Denmark buatan jenama Sonion. Sambungan antara 2 bahagian (‘faceplate’ dan badan) IEM ini teramat kemas dan tiada kesan sambungan dapat dirasakan mahupun dilihat. Syabas! Kabel yang dibekalkan diperbuat dari 8-‘core braided’ 8N Copper dengan sambungan 2-pin 0.78mm. Secara amnya, saya kagum dengan kualiti binaan IEM berserta kabel spesifikasi tinggi yang lembut dan juga mudah urus.
Fungsi & Spesifikasi Penuh
- Bahan: Medical Grade Resin (kemasan akhir menggunakan Egger Lacquer)
- Jenis Transduser: Satu BA driver
- Sensitiviti: 115db/1mW
- Rintangan: 22Ω
- Julat Frekuensi: 20-20000hz
Di dalam kotak:
- Alpha Omega Epsilon
- Silicon eartips (S,M,L)
- ‘Carry case’ x 1
Harga Pasaran & Di Mana Boleh Beli?
RM599.00 (Universal) & RM719.00 (Custom)
Jaben Sarawak / Alpha Omega Custom In Ear Facebook
Anda juga boleh ke Stars Picker Audio Library 摘星知音 untuk mencuba demo unit dan membuat tempahan atau pembelian.
Persembahan Bunyi dan ‘Tone’ Suara
Epsilon mempunyai ‘tone’ bunyi yang bersih tetapi agak kering. Hal ini mempengaruhi persembahan bunyi keseluruhan yang kedengaran hampir nipis dan membuatkan bunyi pada sesetengah frekuensi kedengaran agak ‘digital’ pada telinga dan selera saya.
Sumber Yang Digunakan
Win10 > Stoner Acoustics UD130 > IFI micro iDSD Black Label (amp section) > Alpha Omega Epsilon
Lagu Yang Digunakan
- Alleycats – Gerimis Senja
- Wings – Taman Rashidah Utama
- Ratatat – Bilar
- Aerochord – Surface
- Dayang Nurfaizah – Lelaki Teragung
- Ella – Demi
*Notakaki
Saya dapati bahawa Epsilon adalah IEM yang sangat bergantung pada jenis ‘eartip’. Ini juga dipersetujui oleh wakil dari Alpha Omega dan menyarankan saya untuk mengguna ‘eartips’ yang mempunyai ‘stem’ lebih keras seperti dari jenama Acoustune ataupun mana-mana ‘eartips’ yang ‘narrow bore’. Memandangkan unit demo hanya dibekalkan dengan ‘eartips’ silikon saiz M (terlalu besar bagi saya untuk mendapatkan kedapan yang optimal), saya telah menukar kepada ‘eartip’ lain yang ada dalam simpanan.
Padanan Epsilon dengan ‘wide bore eartip’, contoh: JVC Spiral Dots memberi perwatakan bunyi seperti saya nyatakan di bawah. Tetapi yang menarik perhatian saya ialah padanan Epsilon dengan ‘narrow bore eartip’, contoh: Sony EP-EX11 memberi perwatakan bunyi yang lebih seimbang dan lebih musikal di samping mengekalkan keupayaan teknikaliti yang sama.
Bass
Sub-bass agak ‘rolled-off’ dan tiada impak ‘rumble’ dapat dirasakan (tipikal bagi kebanyakan IEM yang menggunakan 1 BA). Mid-bass lebih mendominasi julat frekuensi bawahan ini dengan karakter yang punchy disertakan dengan ‘attack’ dan ‘decay’ yang cepat. Tekstur pada mid-bass ini juga jelas ditonjolkan dalam setiap lagu yang dimainkan dan tekstur sebegini agak sukar untuk didengari pada IEM yang berada di sekitar harga ini. Namun, terdapat beberapa bunyi instrumen di frekuensi ini yang kedengaran agak ‘bouncy’. Secara keseluruhan, bass pada Epsilon ini adalah bersifat kemas dan bertekstur.
Mids
Peralihan dari upper-bass ke lower-mids adalah bersih dan tiada ‘bass bleed’ ketara dapat didengari tetapi tidak cukup untuk memberi ‘body’ pada keseluruhan julat mids dan secara langsung memberi karakter yang hampir nipis. Vokal lelaki dan perempuan adalah bersifat menonjol (forward) dan ringan (airy). Tetapi, satu kelemahan pada Epsilon di julat frekuensi ini adalah bahagian upper-mids yang kedengaran ‘nasally’ (tetapi tidak ‘shouty’) dan agak tidak semula jadi pada sesetengah lagu. Hal ini bukanlah tipikal pada IEM yang menggunakan 1 BA di mana bersifat nipis tidak semestinya perlu bersifat ‘nasally’. Namun secara keseluruhan, mids pada Epsilon adalah bersifat bersih dan terperinci.
Treble
Beralih ke lower-treble dan treble, perincian yang dipersembahkan oleh Epsilon amatlah mengagumkan di mana ‘sparkle’ dalam setiap ‘tone’ kedengaran menonjol (articulated). Namun kadangkala kedengaran sedikit ‘sibilance’ bergantung pada lagu yang dimainkan dan padanan ‘eartips’ yang dikenakan. Sambungan treble pula agak terhad di mana upper-treble ‘shimmer’ kedengaran agak tergantung. Pendek kata, persembahan treble Epsilon berada dalam kategori bertenaga dan pada masa yang sama masih dikira selamat. Secara keseluruhan, treble pada Epsilon boleh dirumuskan sebagai bertenaga dan terkawal.
Pentas Bunyi
Di sini saya mendapati bahawa Epsilon dapat mempersembahkan pentas bunyi yang lebih luas dari kebiasaan yang dapat didengari pada IEM yang menggunakan 1 BA. Lebih lebar dari dalam, persepsi keseluruhan pentas bunyi Epsilon ini adalah lebih ke arah lonjong. Tidak cukup dengan itu, Epsilon ini juga dapat memberikan persepsi ketinggian yang jelas boleh didengari dari sesebuah lagu yang dimainkan.
Pengasingan dan Pengimejan
Berbekalkan persembahan pentas bunyi yang lebih besar dari kebiasaan, imej yang dipersembahkan juga boleh dikatakan tepat. Alat musik dan isyarat bunyi yang kedengaran dalam setiap lagu jelas hadir mengikut kedudukan yang telah ditetapkan dan tidak sekali pun kedengaran sesak / berterabur antara satu sama lain. Keupayaan teknikal Epsilon ini pada saya adalah cukup bagus walaupun hanya menggunakan 1 ‘Balance Armature’.
Mesra Pengguna
Berdasarkan sumber ‘gear’ yang saya gunapakai, Epsilon ini tidaklah sukar untuk dipacu ke tahap optimal dan sangat bertepatan untuk kegunaan mudah alih.
Sinergi
Berikutan ‘tone’ bunyi yang agak kering, IEM ini lebih sesuai dipadankan dengan sumber yang lebih ‘warm’ untuk mengimbangi ‘tonal balance’ secara keseluruhan.
Perbandingan
FiiO FA1 (RM459.00)
FA1 merupakan IEM 1 ‘Balance Armature’ Chi-Fi dari jenama yang tidak asing lagi iaitu FiiO. Rekabentuk FA1 ini adalah jenis ‘Universal Custom’ yang dihasilkan menggunakan teknologi cetakan 3D. Jika dibandingkan dengan Alpha Omega, FiiO tidak menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian pada IEM ini dan mana-mana IEM keluaran mereka.
Bass pada FA1 lebih penuh dan lebih berat dengan kehadiran sub-bass yang lebih ketara sedikit berbanding Epsilon. Dari mid-bass ke lower-mids boleh dikatakan setara di mana keduanya kedengaran punchy, bertekstur dan bersih. Mids pada FA1 lebih ke belakang (recessed) sedikit jika dibandingkan dengan Epsilon. Upper-mids ke lower-treble pada FA1 adalah lebih ‘smooth’ tetapi kurang ‘sparkle’ untuk perbandingan. Treble juga lebih diredam dan upper-treble ‘rolled off’ lebih awal sedikit pada FA1, membuatkan persembahan bunyi yang lebih gelap (dark) jika dibandingkan dengan Epsilon.
Pentas bunyi pada Epsilon lebih lebar tetapi FA1 mempunyai pentas bunyi yang lebih dalam. Hal ini membuatkan lapisan bunyi kedengaran lebih ketara pada FA1 (lebih 3-dimensi) manakala Epsilon kedengaran lebih 2-dimensi jika dibandingkan antara keduanya. Persembahan imej dan pengasingan ‘stereo’ adalah setara antara kedua-dua IEM ini dan jika ada perbezaan, tidaklah ketara. Kedua-duanya adalah tepat, sekata dan tidak sesak. Secara keseluruhan, persembahan bunyi FA1 lebih semula jadi dan lebih ‘smooth’ jika dibandingkan dengan Epsilon.
Untuk Siapa?
Pada saya, Epsilon adalah sepasang IEM yang sesuai bagi mereka yang menginginkan ‘tone’ bunyi yang bersih dan terperinci. Disertakan dengan pelbagai pilihan rekaan ‘faceplate’ menarik dan keupayaan Alpha Omega untuk menyediakan badan IEM yang ditempah khas untuk pemiliknya, Epsilon adalah antara pilihan pemula yang paling mesra poket bagi individu yang menghargai nilai estetika sepasang IEM buatan tangan sebegini.
Rumusan
Walaupun diiklankan sebagai sepasang IEM yang ditala untuk menghasilkan persembahan bunyi yang ‘hype’, pada pendapat saya Epsilon adalah contoh IEM 1 BA yang amat baik dari segi teknikaliti. IEM ini secara jujurnya tidak mencapai tahap sebagai satu IEM yang bersifat ‘all-rounder’ tetapi lebih bersesuaian untuk kegunaan ‘monitoring’ dan ‘gaming’. Ditambah pula dengan pelbagai pilihan ‘faceplate’ dan kebolehan Alpha Omega untuk membuat badan ‘custom-fit’, tidak salah untuk saya kata bahawa Epsilon adalah IEM ‘monitoring’ buatan tangan paling murah di Malaysia.
(4 / 5)