UTWS3 sebuah produk baru dari FiiO. Rata-rata peminat audio di Malaysia tidak asing lagi dengan produk audio keluaran FiiO. Jutaan terima kasih pada pihak FiiO Malaysia dan juga Red Ape – Headphone Store kerana menaja ulasan UTWS3. FiiO UTWS3 penuh dengan ciri dan spesifikasi yang mengagumkan. Bagi saya, yang paling penting ialah produk ini adalah peningkatan kepada model sebelum ini iaitu FiiO UTWS1 (Model pertama). FiiO telah lama terlibat dalam pembikinan peranti audio Bluetooth dan mengeluarkan banyak produk dengan senario penggunaan yang berbeza, antaranya seperti gambar yang saya sediakan dibawah :
Harga dan kat mana boleh beli
Sebelum saya memulakan ulasan UTWS3, mungkin ramai yang telah cakna dengan kehadiran FiiO UTWS3 dalam pasaran Malaysia. Disini saya sertakan Link pembelian bagi memudahkan anda semua terus membuat pembelian :
Shopee Red Ape – Headphone Store : https://t.productlink.io/a142wvc
Lazada Red Ape – Headphone Store : https://t.productlink.io/a142wvd
Spesifikasi UTWS3
Packaging & Kualiti rekabentuk
FiiO UTWS3 hadir dalam kotak yang agak kecil dan menarik secara visual, dimana pada bahagian hadapan kotak mempunyai grafik produk tersebut dan maklumat syarikat terletak pada bahagian belakang kotak tersebut. FiiO telah menambah pelekat khas di bahagian belakang sebagai penyelesaian untuk mengenal pasti produk mereka adalah asli dan bukan palsu.
Didalam kotak UTWS3 pula terdapat kompartmen khas yang lembut dimana terletaknya UTWS3 tersebut. Kabel type-C dan juga buku manual diletak pada bahgian bawah kompartmen. Sedikit hairan, Model terbaru dari FiiO kali ini tidak disertakan sekali pouch bag seperti produk sebelum ini seperti DAC/AMP mudah alih mereka.
Rekaan kotak pengecasan UTWS3 ini nampak ringkas dan saiznya pulak pada saya agak besar dan gemuk. Manakala bahagian dalam kotak pengecasan UTWS3 nampak lebih menarik daripada bahagian luar, potongan bentuk earhook yang kemas di bahagian penutup atas dan mempunyai pelekat bahan lembut untuk melindung calar pada earhook UTWS3. Ruangan untuk IEM pula yang saya lihat hampir semua saiz dan bentuk boleh dimuatkan sekali dalam kotak pengecasan UTWS3.
Selain kotak pengecasan, earhook FiiO UTWS3 mempunyai ciri yang mewah dan banyak kegunaan. Dari segi reka bentuk pula, ia terdiri daripada asas plastik dan getah telinga fleksibel. Kedua-dua earhook UTWS3 mempunyai logo FiiO dan disertakan butang besar yang mudah untuk ditekan semasa penggunaan. Selain itu, kedua-dua earhook ini mempunyai 2 mikrofon yang dilindungi oleh jaring aluminium dan penunjuk LED putih didalamnya, pin pengecas magnetik pada saya agak kuat magnetnya, gelung aluminium yang memudahkan pengguna mengenal pasti kiri(biru) dan kanan(merah) pada sambungan MMCX atau 2-pin (0.78mm). Berat UTWS3 hanya sekitar 6g (tanpa IEM). Selain itu, UTWS3 dilengkapi perlindungan IPX4 dimana kedua-dua unit tersebut kalis habuk dan lembapan.
Keselesaan & Kesesuaian
Saya menggalakkan pengguna yang ingin membeli UTWS3, pilih versi MMCX. Ini kerana versi MMCX ada lah pilihan yang terbaik kerana penyambung MMCX itu sendiri memudahkan IEM diputar mengikut kesesuaian di telinga. Semasa saya mencuba versi 2-pin ada sedikit masalah (ikut telinga masing-masing) ditelinga saya, earhook UTWS3 terasa tergantung dan saya merasa tidak selesa dan tidak boleh dilaraskan mengikut kesesuaian telinga. Jalan penyelesaian yang boleh saya sarankan untuk pengguna yang mempunyai IEM 2-pin, anda perlu adapter tambahan iaitu adapter MMCX > 2-pin (0.78mm) – (rujuk gambar dibawah) ia akan menjadikan UTWS3 lebih universal dan boleh diputar mengikut kesesuaian telinga anda. Pilihan semasa membuat pembelian UTWS3 bagi pengguna IEM 2-pin adalah ditangan anda sama ada versi MMCX menjadi pilihan dengan jalan penyelesaian yang saya sarankan atau kekal dengan pemilihan versi 2-pin.
Dari segi keselesaan semasa mendengar muzik dan menonton video, tahap keselesaan boleh saya bagi pada UTWS3 adalah 9/10 dimana saya menggunakan 3 jenis IEM iaitu HiillAudio EK5, Westone UM3x MOD dan FiiO FD5. Penggunaan UTWS3 semasa berjogging pada saya kurang selesa kerana bahagian belakang earhook UTWS3 ini terasa tergantung dan berlanggar pada bahagian belakang telinga saya. Untuk pengguna yang ingin memakai semasa menunggang motosikal (TIDAK DIGALAKANKAN!), tahap keselesaan bergantung pada jenis helmet yang anda pakai. Jikalau helmet yang anda pakai itu ketat, kebarangkalian butang earhook UTWS3 mudah diaktifkan secara tidak sengaja dan ia boleh menyebabkan lagu terhenti atau langkau dengan sendirinya.
Anda juga boleh memakai UTWS3 pada satu saluran sahaja iaitu kiri atau kanan. Cuma masalah yang saya alami dimana penyesuaian IEM dengan UTWS3 jika dipakai sebelah sahaja ia membuatkan saya sakit kepala, mungkin lagi teruk pada pengguna lain. Oleh itu, pada pendapat saya pilihan terbaik dalam penggunaan tersebut adalah menggunakan earbud dan bukannya IEM. Sebagai contoh, pilihan earbud yang sangat baik seperti JCALLY-EP05 HIFI MMCX Earbud.
Fungsi & Jangka Hayat Bateri
FiiO UTWS3 dilengkapi dengan Bluetooth 5.0 dan cip QC3020 sama seperti model sebelum ini iaitu UTWS1. Perbezaan besar pada UTWS3 adalah ia boleh dikawal dengan menggunakan aplikasi FiiO music. Perbezaan lain ialah FiiO UTWS3 mempunyai cip amp TPA6140A2 yang berasingan yang membuatkan output kuasa cip Qualcomm meningkat dari 14mw (normal) pada 16Ω dan lebih dari dua kali ganda menjadi 38mw.
FiiO UTWS3 menyokong BT codec AAC, SBC dan paling tinggi adalah APTX. Saya menguji latensi UTWS3 ini dengan menggunakan Pixel 3A XL dan juga Sony ZX507, terdapat sedikit kelewatan pada purata 0.2 saat yang masih boleh diterima dengan menggunakan APTX codec semasa menonton video.
Rata-rata pengguna yang biasa dengan cip QC3020 akan bertanya tentang sokongan TWS+, disini saya ingin memohon maaf kerana saya tidak dapat menguji latensi pada Mod TWS+ kerana peranti saya tidak menyokong Mod TWS+. Peranti yang menyokong mod TWS+ mestilah didatangi dengan cip Snapdragon SD 720G dan SD 730G keatas (untuk cip siri 700) dan SD 845 keatas (untuk siri cip 800) . Peranti mudah alih yang tidak menyokong TWS+ adalah Google Pixel, LG, Nubia Red Magic dan juga Xiaomi Blackshark2.
Pada awalnya saya agak keliru semasa membuat pairing dengan peranti Pixel dan ZX507, kerana ia tidak menunjukkan kedua-dua saluran berjaya disambungkan tetapi hanya satu saluran sahaja iaitu saluran kiri atau kanan. Setelah saya membuat kajian, hanya salah satu sahaja yang perlu disambungkan dan sebelah lagi akan disambungkan secara automatik. Ini kerana UTWS3 dilengkapi dengan transmisi dwi TWS+ dimana manfaatnya memudahkan proses penyambungan dan sistem master dan slave tidak lagi terpakai.
Untuk mendapat kawalan penuh pada UTWS3, anda perlu memuat turun aplikasi FiiO music dekat Playstore (Android) ataupun Appstore (iOS). Aplikasi FiiO music ini membolehkan anda :
- Semak jangka hayat bateri UTWS3
- Semak firmware atau upgrade firmware
- Menukar fungsi butang pada earhook UTWS3
- Menetapkan masa pada UTWS3 untuk power off jika dalam keadaan terbiar
- Mengaktifkan atau tune EQ dan lain-lain.
Panduan penuh UTWS3 juga boleh diperolehi dalam aplikasi ini. Dibawah saya sediakan antara muka FiiO music :
Ketahanan bateri UTWS3 setiap satu earhook adalah sekitar 6-7 jam dalam mod TWS + atau 4-5 jam dalam single mod. Kotak pengecasannya pula dimuatkan bateri berkapasiti 800mAh dan ia cukup membolehkan playback masa pengecasan selama 30 jam dengan 4 atau 5 kali cas penuh. Sepanjang PKP, saya hanya menghabiskan masa dan berkerja dirumah, Jangka hayat bateri earhook UTWS3 turun 30% selama 2 jam penggunaan dan untuk kotak pengecasannya pula saya hanya mengecas penuh 6 kali dalam masa 6 hari.
Kualiti Bunyi & Julat Frekuensi
Semasa saya menguji julat frekuensi UTWS3, saya tidak pernah alami gangguan sambungan putus-putus semasa menggunakannya didalam rumah. Untuk jarak jauh pula, saya telah mencuba denga cara berjalan keluar rumah, dimana kawasan saya tinggal ini adalah apartment. Gangguan sambungan terputus apabila saya berjalan kearah lif, jarak rumah saya dengan lif sekitar 3-4 meter.
Untuk kualiti mikrofon pada UTWS3 apa yang saya boleh katakan kualitinya amat bagus kerana UTWS3 mempunya dwi mikrofon terbina dan disertakan dengan ciri noise cancelling. Saya tidak mempunyai masalah dengan kualiti mikrofon pada UTWS3 semasa membuat pangilan telefon dan pangilan video dimana saya meminta bantuan isteri saya menggunakan UTWS3 dan saya sendiri mendengar hasil suara mikrofon UTWS3 sememangnya jelas.
Kualiti bunyi UTWS3 adalah sangat baik pada saya, semasa saya menguji kualiti bunyi UTWS3, saya menggunakan IEM HillAudio Neo EK5, file audio format flac dan spotify pada peranti ZX507. Walaupun Sokongan BT codec paling tinggi pada UTWS3 hanya APTX, Kualiti bunyi yang dihasilkan dari UTWS3 ini sangat baik. Anda juga boleh mengubah tone bunyi UTWS3 dengan menggunakan equalizer yang tersedia dalam aplikasi FiiO music mengikut tetapan yang anda suka.
Hasil audio reproduction dari UTWS3 adalah natural dan sesuai pada semua genre lagu-lagu yang saya cuba. Low Frekuensi dihasilkan dengan lebih baik di UTWS3 berbanding cable, dimana saya dapat mendengar dengan jelas amount notasi pada bassline dan subbass. Manakala high frekuensi pula lebih forward sounding apabila menggunakan wired cable berbanding UTWS3 yang mana decay kedengaran agak lambat dan kekurangan detailed. Tiada perbezaan yang ketara didengari pada mid-ranges untuk kedua-dua wired cable dan apabila menggunakan UTWS3. Walau bagaimanapun kualiti audio dari UTWS3 tidak boleh disamakan dengan kualiti audio dari IEM yang mengunakan wayar, hanya sekadar untuk memudahkan pengguna yang ingin bebas dari wayar ketika bersenam mahupun sedang berkerja.
Ulasan dan Bintang
Sekiranya anda ingin mengubah IEM kegemaran anda menjadi TWS, FiiO UTWS3 adalah pilihan yang tepat. Dengan tanda harga RM359 :
- Reka bentuk yang kemas dan menarik (kecuali saiz kotak pengecasan)
- Keselesaan semasa menggunakannya
- Spesifikasi yang mantap
- Mempunyai ketahanan batteri yang sangat bagus pada saya
- Mempunyai sokongan aplikasi (FiiO Music)
- Mempunyai kemaskini firmware
- Bebas memilih IEM atau earbud untuk kegunaan seharian
Fiio UTWS3 adalah sebuah gula-gula sangat berbaloi dari FiiO untuk semua peminat audio pada permulaan tahun 2021. 5 bintang saya bagi pada FiiO UTWS3. Saya akhiri ulasan saya dengan ucapan jutaan terima kasih kepada FiiO Malaysia dan juga Red Ape – Headphone Store kerana sudi menaja dan memberi kepercayaan kepada AudioMonsta untuk membuat ulasan.
(5 / 5)