Ulasan E2020A (Janus) Dual Sockets Dynamic Earphones dari DDHiFi (Sponsored by Red Ape – Headphone Store)

Berdasarkan pemerhatian saya ddHifi adalah antara pembuat peralatan audio yang mempunyai citarasa rekaan yang sangat futuristik dan solid. Rekabentuk yang dihasilkan seringkali menjadi tarikan dan material yang digunakan juga memperlihatkan kejituan binaan dan kecanggihan teknologi mereka. Lihat saja rekaan USB Type-C atau Lightning DAC/Amp mereka, walau kecil namun mempunyai binaan yang sangat kukuh dan hasilan bunyi yang baik bagi item sekecil itu. Kini ddHifi muncul lagi dengan sebuah IEM yang boleh dikatakan berkelas pertengahan tinggi dengan kemampuan dua soket terbina. Ini bermaksud samada anda pengikut tegar kabel MMCX mahupun pencinta setia kabel audio dua pin, anda mampu berkongsi kasih dengan IEM ddHifi terbaru mereka E2020A (Janus).

Spesifikasi

  • Penyambung : 0.78mm 2Pin/MMCX available
  • Sambungan kabel yang disertakan : MMCX
  • Plug : 2.5mm
  • Impedance : 97ohms
  • Sensitivity : 97dB/mW
  • Jarak Frekuensi : 20-20000Hz
  • Panjang Kabel : 1.2m

Packaging
Janus dimunculkan dengan set kotak bersifat kompak yang mana pihak ddHifi memberikan sebuah kabel balanced 2.5mm model Forest BC120A, sebuah kotak IEM kulit berpenutup magnetik, kabel klip magnetik, penutup lubang MMCX bagi mengelakkan habuk masuk ke lubang MMCX bila tidak digunakan, tip telinga silikon untuk Bass Type dan juga tip telinga silikon untuk Treble type.
Bagi tujuan ulasan ini Janus yang saya gunakan adalah demo unit sumbangan Red Ape yang hanya disertakan dengan Janus IEM, kabel Forest MMCX dan kotak kulit IEM serta tip telinga silikon Type Bass.

Keselesaan & Rekabentuk

Sekali pandang, rekabentuknya sangat futuristik, dengan bahan lutsinar yang memperlihatkan isi perut Janus yang mana saya merasakan ianya seperti satu hasil kerja seni yang halus dengan susun atur dalaman yang simetri dan sangat kemas. Naluri seorang geek seperti saya terangsang dan teruja dengan keindahan binaan Janus ini. Janus menggunakan FPCB (flexible printed circuit board) menggantikan wayar biasa dalam menghubungkan komponen-komponen dalamannya yang mana menurut ddHifi mampu mengoptimumkan penggunaan litar serta memberikan kesan playback audio yang lebih baik. Ianya bagai melihat keindahan sebuah akuarium yang di isi dengan ikan kelisa emas yang berkilat indah! Sebagai sebuah IEM dengan spesifikasi single dynamic driver, Janus adalah dalam kategori IEM yang sederhana kecil dan ringan. Sepanjang penggunaan Janus, saya merasakan ianya bagaikan bersatu dengan telinga saya di mana saya tidak merasa beban beratnya Janus langsung membuatkan saya mampu memakainya untuk satu tempoh yang lama. Begitu juga dengan keselesaan pemakaiannya, yang mana ianya sesuai dan fit di dalam telinga tanpa rasa tekanan melampau di mana-mana bahagian dalam telinga saya yang bersentuhan dengan Janus. Ini menyebabkan anda tidak merasa ada titik-titik lesu pada bahagian telinga dan menyebabkan anda akan selesa memakai Janus tanpa perlu mengubah atau membetulkan posisi Janus di dalam telinga and dalam kekerapan yang agak selalu. Pendek kata ada kemungkinan anda seolah-olah terlupa yang anda sedang memakai sebuah IEM di telinga anda kerana Janus seolah-oleh bersatu dengan anggota telinga anda!

This slideshow requires JavaScript.

Harga dan kat mana boleh beli

E2020A (Janus) Dual Sockets Dynamic Earphones dari ddHiFi ini boleh di dapati di Red Ape – Headphone Store. Dibawah saya sertakan link pembelian :

Shopee Red Ape – Headphone Store

Sumber Audio & Senarai Lagu
Setelah mendengar Janus secara imbasan ringkas saya telah memilih 7 lagu untuk menjadi pedoman bagi menentukan hala bunyi Janus untuk tugasan ulasan saya pada kali ini:

https://tidal.com/browse/track/59581948

https://tidal.com/browse/track/1509086

https://tidal.com/browse/track/11337274

https://tidal.com/browse/track/45394488

https://tidal.com/browse/track/43461374

https://tidal.com/browse/track/1757136

* Sumber untuk lagu-lagu ini adalah berasaskan Tidal Master dan Spotify.
* Penulis menggunakan iPhone 11 sebagai DAP harian manakala Sony TA-ZH1ES DAC digunakan untuk mencuba uji kekuatan maksima Janus.

Untuk mereka yang mahukan jawapan segera Janus adalah IEM berperisa natural menghampiri warmish dengan soundstage yang sederhana dalam dari segi princian namun agak luas dari segi kemampuan muzik memenuhi ruang yang tersedia tanpa bertindan antara satu sama lain. Julat bunyi Mid dan High jelas dan nyata namun tidak menyengit manakala sisi Bass ada sedikit ketirisan namun tidak terlaku nyata hingga merosakkan lantunan keseluruhan musik tersebut.

Macam mana dia punya bass (Low)
Bagi peminat super power ultra bass dumbedakdumbedak, Janus bukanlah pilihan anda. Janus mempunyai rasa sub bass yang bersih dan jelas seiring dengan Mid-bassnya namun ada ketikanya pertindanan boleh didengari antara mid dan sub bass namun tidak begitu ketara. Lantunan bass agak tepat dan jitu dan tidak terlalu bergaung namun bagi lagu-lagu tekno akan ada telingkah antara bass dan mid namun kita masih mampu mengenal pasti garisan pemisah antara keduanya.

Macam mana dia punya vokal (Mid)
Agak mengkagumkan bilamana vokal lelaki mahupun wanita kedengaran jelas dan diberikan penekanan secukupnya manakala petikan alat bunyi bertali jelas kedengaran dengan cukup rangup dan gemersik. Janus menghasilkan julat Mid yang sangat teliti dan berkarakter lebih menuju kepada penalaan nada bunyi bersifat mikro. Bagus untuk mereka yang suka mendengar muzik dengan mode santai namun masih mahu mengekalkan perincian bunyi mikro.

Macam mana dia punya treble (High)
Saya adalah seorang pembenci nada bingit dan menyengit. Saya tidak suka nota musik yang kedengaran bagai jeritan pontianak yang tertusuk paku di leher. Saya suka nada treble yang beradab, menyerlah namun tidak bingit dan Janus memberikan apa yang saya ingini. Bunyian alatan muzik yang berada pada laras treble amat mesra, gemersik namun tidak menjerit-jerit di telinga saya.

Tone bunyi & Persembahan bunyi
Janus adalah iem yang mudah untuk dipandu tanpa memerlukan kuasa luaran dari amplifier ataupun dari DAP. Anda hanya memerlukan sebuah telefon pintar sebagai pemain muzik anda dan ianya sudah mencukupi untuk menjana signature sound yang baik dari corong Janus tanpa mengorbankan sebarang kekurangan nyata. Janus adalah antara IEM yang mampu untuk di pakai dalam jangka masa yang agak lama tanpa mudah menimbulkan kelesuan pada pendengarnya atas sebab bunyi yang natural menghampiri warm dan kawalan mid dan treble yang berasas dan tidak keterlaluan.

Untuk Siapa?
Pencinta bunyi yang natural, mereka yang suka flat equalizer setup, mereka yang tidak sukakan bass melampau dan mereka yang mahu mendengar santai namun masih mengekalkan kejelasan dan perincian bunyi yang dihasilkan boleh memilih Janus sebagai pilihan hati. Oh dan mereka yang sukakan rekaan yang futuristik namun minimalis juga pasti sukakan Janus!

Ulasan dan Bintang
Untuk harga dan kualiti bunyi saya berikan 3.5 bintang untuk Janus.

3.5 out of 5 stars (3.5 / 5)

Total
0
Shares
Related Posts
AudioMonsta