Sepak Mula
FiiO adalah sebuah syarikat audio yang tak kenal erti penat, tak terlintas erti mengalah dan tak putus dengan harapan. Terdapat limpahan model dan produk audio telah dipasarkan oleh jenama ini dan kini saya merasakan produk mereka telah mula bersipongan mesra di bibir peminat dan pencinta audio di Malaysia atas sebab peranan harga dan kos yang amat mampu milik serta kualiti yang agak setanding dengan jenama audio yang sudah berpasak lama dalam pasaran Malaysia dan dunia umumnya. Kali ini FiiO muncul lagi, tanpa segan silu memperkenalkan produk kemegahan/flagship terbaru mereka sebuah IEM yang dihasilkan menggunakan teknik cetakan 3D, mempunyai 6 Knowles balanced armature driver setiap belah yang boleh di tata atur signature bunyinya menggunakan 3 suis mikro pada badan IEM tersebut dengan sambungan MMCX.
Inilah FiiO FA9, bagi mereka yang enggan membaca lebih lanjut dan hanya mahu mengetahui kesimpulan FA9 ini, saya boleh menyimpulkan bahawa FA9 ini adalah IEM yang SANGAT mampu milik bagi sebuah IEM berkelas flagship dan mempunyai citarasa bunyi seakan-akan IEM flagship jenama Amerika! Bagi mereka yang menyukai hasilan bunyi dan tona yang seimbang, terperinci, suci dan menghampiri natural jangan toleh ke kiri atau ke kanan, ke atas atau ke bawah lagi. Inilah IEM mampu milik yang PATUT anda miliki!
Pakej dan Pembungkusan
Apa yang anda harapkan bagi sebuah produk berkelas kemegahan/flagship syarikat terbabit? Pastinya sebuah kotak keras yang boleh di jadikan momento koleksi tanpa terpenyek, dan disertakan aksesori yang lebih berbanding produk-produk berkelas pertengahan atau marhain. FiiO menyediakan sebuah kotak IEM pseudo-kulit berwarna biru yang agak besar, bekas IEM berbentuk pouch kanvas kelabu, berus pembersih merangkap tuil yang boleh digunakan untuk menukar switch profil bunyi di badan IEM terbabit, pengikat kabel serta limpahan ear tip bagi pilihan anda.
Keselesaan & Rekabentuk
Kerangka FA9 ini dibuat dengan menggunakan teknik cetakan 3D yang mana resin yang digunakan untuk mencetaknya adalah menggunakan bahan bergred tinggi untuk kegunaan medikal. Secara umumnya kerangka luar FA9 ini sangat solid dan tidak mudah untuk tercalar. Di dalam FA9 ini juga dipenuhi dengan resin menjadikan semua komponen dalamnya sangat tetap dan tidak mampu berubah kedudukan. Resin yang digunakan berkualiti tinggi kerana kadar tranparensi sangat jelas dan tiada gelembung udara kelihatan pada unit yang saya gunakan untuk review ini.
Satu lagi fungsi FA9 yang agak tersendiri adalah 3 suis mikro penukaran tona bunyi yang FiiO perkenalkan bagi model FA9 ini. Suis pertama (S1) adalah untuk menukar tahap impedance atau sensitiviti bunyi yang dihasilkan. Terdapat 2 pilihan nilai iaitu 16Ω / 110dB bagi meredamkan bunyi-bunyi yang agak menjengkelkan hasil dari rakaman atau sumber bunyi yang kurang kualiti, manakala pilihan kedua adalah untuk nilai 32Ω / 113dB bilamana anda memerlukan bunyi yang lebih jelas dan terperinci hasil dari sumber rakaman yang berkualiti tinggi. Ini akan menyerlahkan dan membuka setiap hijab bunyi tersebut tanpa segan silu.
Suis kedua (S2) adalah penggalak (booster) treble, dnegan mengaktifkan suis ini, anda akan memperoleh bunyi treble yang lebih di perkuat dan jika bunyi tersebut dari sumber yang berkualiti and mampu mencicip kerangupan (crispiness) bunyi treble tersebut.
Suis ketiga (S3) pula pastinya dambaan para penggemar bunyi bersifat bass (dumbedak dumbedak ) iaitu bass booster, tapi suis ini secara default nya adalah ON di mana bila dalam mode ON ia akan mengawal lontaran bass yang dihasilkan oleh FA9, jadi jika anda seorang penggemar dumbedak dumbedak sejati, suis ini pastinya sudah di OFF kan seawal anda usai unboxing FA9 ini.
Kabel yang diberikan adalah dari jenis MMCX reinforced connector dengan 8 jalur monocrystalline silver plated copper. Mengikut pendengaran saya, ianya akan menjadikan bunyi yang dihasilkan agak warm dan mendekati WARM bagi sesetengah telinga yang lebih peka.
Harga dan kat mana boleh beli?
Set yang aku gunakan untuk review ni aku perolehi dari RedApe. Sesiapa nak beli boleh hubungi RedApe dan beli dengan harga RM2,399. Terkejut dengan harganya? Cuba dulu adik akak tuan puan… Sejujurnya IEM buatan Jepun/Eropah yang menghasilkan bunyi yang sama harganya 3 kali ganda dari FA9 ini!
Link Pembelian :
Sumber Audio dan Senarai Lagu
Pemain muzik yang digunakan:
1) Sony DMP-Z1
2) Sony ZX500
3) iPhone 11 Pro Max
Applikasi pemain muzik yang digunakan:
1) Spotify di IOS dan MacOS
2) Tidal di IOS dan MacOS
3) Youtube Premium dan Youtube Music
Lagu Ujian:
1) I Say A Little Prayer (Tidal Master) : Aretha Franklin
2) Hikayat Benladin : Ben Ladin
3) Barakallahu Lakuma (Live & Acoustic) : Maher Zain
4) Demi Cinta (New Version) (Tidal Master) : Kerispatih
5) I don’t want to miss a thing : Aerosmith
6) 2002 (Tidal Master) : Anne Marie
7) Serikandi Cinta : Bloodshed
8) Kembali Merindu (Tidal Master) : Slam
9) Da’Bomb (Remix) : Ruffedge
10) Menghapus Jejakmu : Ariel NOAH dan Bunga Citra Lestari
Pertamanya, fitting dan keselesaan pemakaian FA9 ini bagi aku sangat selesa… bagai dalam rangkulan dan pelukan seorang kekasih. Kalau di bandingkan dengan FA7 atau FH7, FA9 memberikan keselesaan pada telinga aku untuk dipakai lebih dari 3 jam, ini mungkin kerana berat dan bentuknya yang sangat ergonomik. Tidak terasa kelesuan pada cuping telinga anda walau dah pakai hampir 3 jam bagi kes aku. Bentuk ini juga membantu dalam mengawal dalam isolasi pasif bunyi bermakna bunyi luaran tidak terlalu terlimpah ke dalam gegendang telinga ketika menggunakan FA9.
Untuk review ini aku menggunakan setup S1: Off, S2 (Treble): Off dan S3(Kurangkan Sub Bass): On, bagi aku ini adalah config yang sangat balanced dan sangat selesa untuk pendengaran berjangka masa panjang.
Macam mana dia punya soundstage
Soundstage FA9 ini adalah soundstage bilamana anda sedang melihat dan menonton persembahan di dalam studio, di mana sejumlah pemain muzik dan penyanyi mempersembahkan lagu mereka dalam jarak 3-5 meter dari tempat kita duduk dalam keadaan isolasi bunyi yang sangat terkawal dan tenteram. Kita boleh rasa kedudukan settiap satu alatan muzik yang dimainkan serta dapat menjangka dengan jelas setiap instrumen yang digunakan. Bunyi vokal agak ke hadapan sedikit dan boleh di hayati secara harmoni dengan instrumen yang mengiringi.
Macam mana dia punya bass (Low)
Da’Bomb (Remix) : Ruffedge aku gunakan nak lihat bagaimana persembahan bass dan sub bass FA9 ini. Ok ini bukan IEM untuk fanatik bass. Bass dan sub bass yang dihasilkan bagi aku sangat luhur. KIta boleh rasa kehalusan dan kelembutan sub-bass yang hasilkan NAMUN.. masih rasa seketul-seketul bunyi sub-bass tu meletup. Untuk bass, bunyi yang dihasilkan memang boleh memenuhi ruang namun tidak terlalu mengacau harmoni keseluruhan komposisi lagu. Ini membuatkan ianya menjadi penambah rasa namun bukan membunuh dengan limpahan tsunami tona bass.
Macam mana dia punya vokal (Mid)
Vokal kat IEM ni amat jelas dan nyata dengan placement dia kehadapan sedikit dari muzik latar. Bunyi vokal yang realistik dan tidak berbaur digital. Mid yang natural, dan tidak menjengkelkan. Bila dengar lagu Demi Cinta (New Version) dari Kerispatih, ko boleh dengar ungkapan lirik itu dan macam boleh baca emosi penyanyi juga hela nafas setiap kali beliau nak mula rangkap baru.
Macam mana dia punya treble (High)
Treble/high ada seikit warmish, namun tidak menyelindungkan ekspresi percussion dan drum. Kita boleh mendengar setiap drum snare dan roll juga beat dalam lagu I Say A Little Prayer : Aretha Franklin dengan tidak membingitkan telinga.Treble extension pun sangat cantik, tak ada roll-off dan boleh dengar jauh.
Kedudukan Instruments sekeliling (Separation)
Satu perkataan, harmoni! Inilah magic yang FiiO berikan untuk sebuah IEM berharga RM2,399 ini. Ini kekuatannya. Noktah.
Tona bunyi
Kalau anda takde duit nak beli Shure 846 yang bersifat natural dan balanced, belilah sahaja FA9 ni. Insyallah luka rindu anda akan terubat. Tona yang balanced dan natural. Boleh dengar 5-7 jam tanpa rasa letih.
Packaging
Dibawah aku sertakan video unboxing dan juga gambar FiiO FA9.
Ulasan dan Bintang
Kalau ada satu IEM FiiO yang aku boleh simpan dan jadikan koleksi, aku akan pilih FA9. Sangat selesa pada telinga, ringan, bunyi yang sangat seimbang dan jelas, kalau dengar lagu simfoni orkestra yang ada berpuluh instrumen pun korang boleh hayati, dengari dan mengenal pasti setiap instrumen yang ada dalam setpiece tu sambil memejamkan mata sahaja! Kalau anda perlukan satu sahaja IEM yang berkualiti bangsawan dan kayangan namun bajet level manager baru masuk kerja, yang mudah di drive pada handphone namun mampu menggembirakan bila digunakan pada pc/notebook atau DAP anda dan tak perlu bergantung hidup pada DAC untuk penghasilan bunyi yang indah nian… Belilah FA9. Terima kasih.
(5 / 5)